Friday, 22 July 2011

Pergi Tak Kembali

Pada pagi 19 Julai 2011 aku mendapat panggilan telefon semasa di sekolah  dari anak buah aku si Fadil

." Acik , ni Fadil , Pak Andak dah meninggal"

Bila?, aku bertanya .."Baru sebentar tadi"  Jawab fadil

Nanti sekejap lagi acik balik..

Aku segera bergegas ke bilik guru besar dan memaklumkan kepadanya berita tersebut seterusnya memohon cuti selama 2 hari.  Puan Guru Besar meluluskan permohonan cuti aku dan aku segera menelefon isteri yang ada di rumah untuk bersiap pulang. Kebetulan dia kerja petang pada hari tersebut.

Jam 1.40 petang baru kami sampai di kampung. Rumah mak di penuhi tetamu yang menziarahi arwah. Semasa dalam perjalanan tadi aku menitiskan air mata kesedihan apabila mengenangkan nasib arwah. Dia tidak pernah berkahwin dan sudah tentu tidak ada anak untuk menguruskan jenazahnya. Malah bila dia tiada aku terfikir siapalah yang akan mendoakannya.

Aku sebak dan aku berjanji pada diri sendirii akan sentiasa mendoakannya. Arwah sangat sayang kepada anak aku Darwisy. Apa yang membuat aku terkilan ialah sebelum dia jatuh sakit dia pernah bertanya kepada mak aku mengapa Darwisy sudah lama tidak balik. .Aku sangat kesal bila mengenangkan semua itu. Apa yang membuat aku kesal lagi ialah  tiada siapa memaklumkan kepada aku bahawa Pak Andak sedang sakit.

Aku tahu tiada siapa lagi yang ada untuknya. Aku  turut memandikan jenazah, menyembahyangkannya serta menghantarnya ke kubur. Itulah jasa buat kali terakhir dari aku untuk Pak Andak. Semoga Pak Andak di tempatkan di kalangan orang yang salih dan beriman.


Tuesday, 21 June 2011

Kelainan

Hari hari pergi sekolah aku buat rutin yang sama. Tiba di sekolah, selepas tandatangan kehadiran aku ke kantin untuk sarapan. Pada mulanya aku makan apa yang di hidangkan di kantin tu.

Lama kelamaan, akhirnya bosan menguasai diri. Bukan kerana apa, lauk dan sarapan serta rasa yang sama. Tak berubah. Bukannya berubah dari  tak sedap ke sedap tetapi yang tak sedap tu tetap begitu. Tak ada rasa yang berbeza.

Itu yang membuatkan aku beli makanan di luar dan makan di kantin tu. Cuma air sahaja aku pesan dari kantin.

Hari ini aku ke sekolah seperti biasa dan beli makanan di luar lagi. Aku juga bawa bekal air panas dalam tupperware hadiah hari guru dulu. Aku bawa kopi 3 in 1 dan makan nasi berlauk yang aku beli di bilik guru. Sambil membaca blog dan berita terkini Malaysia.

Itulah kelainan yang aku maksudkan. Malas nak duduk lama lama di kantin. Jemu juga menghadap suasana yang sama hari hari. Teringin juga nak lepak duduk di luar sekolah, tetapi  sekolah bermula awal, tak elok la pula nak duduk lama lama di luar tu. Kalau setakat duduk 10 minit tak puas melihat ragam orang kat kedai makan ni. 

Monday, 2 May 2011

sebuah kisah hidup (2)


Aku masih menunggu hujan.Menunggu hujan untuk berhenti . Aku hanya berharap. Harapan yang di sandarkan kepada awan awan gelap yang menyelubungi kampung Penibong. 

Sebuah kampung pedalaman Sarawak yang masih mengharapkan banyak perkara. Dari bekalan air bersih hinggalah kepada bantuan anak bersekolah. Mereka juga masih perlukan banyak bantuan lain. 

Bantuan minyak subsidi. Bantuan menyara kehidupan. Bantuan untuk anak anak tercicir persekolahan. Malah mungkin perlukan juga bantuan untuk  anak muda  meminang anak jiran untuk jadi pasangan hidup. Semuanya masih perlukan bantuan.Seperti anak kecil yang perlukan bantuan ibu dan ayahnya untuk belajar berjalan.  

Kampung Penibong masyarakatnya rata rata masih naïf dan masih miskin. Mereka adalah kaum Melanau yang beragama Islam. Sayangnya, sebilangannya hanya Islam pada nama. Bukan Islam yang di amalkan sepenuhnya. 

Ada yang masih gila arak. Masih ada yang gila judi. Mereka gila kepada perkara ini bukan dengan perasaan yang takut dan malu. Mereka mabuk di tepi tepi jalan simen pada waktu azan berkumandang. Mereka sangat suka berjudi. Judi adalah antara aktiviti riadah mereka. Bukan semua. Hanya sebilangan. Walau sebilangan tapi jumlahnya agak banyak. 

 Sebilangan inilah yang menjadi citra masyarakatnya. Menjadikan imej tok imam dan bilal menjadi imej yang tak berapa sempurna. Ibarat imej filem yang terkena minyak atau air. Kalau ada bala datang dalam bentuk tsunami memang bukan hanya pemabuk tegar dan si gila judi ini sahaja yang terkena bahanaya. Malah tok bilal, tok imam 1 dan tok imam 2 pun hanyut di bawa tsunami ke tengah laut.

Aku dah bersiap dengan dokumen dokumen yang perlu di bawa. Harapnya, pegawai di Pejabat Daerah Daro tidak kemana mana hari ini. Jika dia tak ada, maka sia sia sahajalah perjalanan dan cuti aku hari ini. Lantas motosikal Honda EX5 berwarna biru ini  aku hidupkan. Walaupun hujan masih rintik rintik dan awan masih gelap tapi aku terpaksa. Aku terpaksa mengharungi  hujan ini. Walaupun ada kebarangkalian hujan akan lebih lebat kerana sudah ada petanda yang nyata.

Bersambung…..




Sunday, 1 May 2011

Pengalaman di Kawasan Pedalaman Sarawak



Hujan masih belum berhenti.Pagi ini aku perlu ke Daro. Ada urusan yang perlu di uruskan. Guru besar telah meluluskan permohonan kami bertiga untuk keluar. Maksudnya hari ini kami tidak perlu ke sekolah.Ini masalah pedalaman.  Urusan penting terpaksa mengambil cuti kerana jauhnya pedalaman untuk ke bandar.


Adakalanya urusan yang sangat ringkas boleh mengambil masa 2 hari. Hari ini aku bertiga perlu uruskan hal medical chekup dan sumpah. Ia perlu dilaksana dengan segera. Semua ini prosedur biasa untuk pelantikan seorang cikgu kerajaan yang telah lulus  temuduga pelantikan.


Aku lihat awan masih gelap. Cuaca sangat sejuk. Tong air telah berisi penuh semula. Ini hujan rahmat. Rahmat pada semua mahluk di kawasan pedalaman. Aku mengelamun.Pagi begini alangkah indahnya kalau aku dapat menikmati secawan kopi lalu sambil berselimut menikmati rintik rintik hujan.

Saat ini bertambah indah jika berlaku di pagi hari cuti.Pada hari yang tak perlu ke sekolah. Tak perlu melihat wajah guru besar yang kadang kadang raut wajahnya menimbulkan misteri.


Aku mengambil baju hujan yang terlonggok di tepi rak kasut. Aku angkat dan aku kibaskan lalu gugur habuk dari baju itu. Agak lama juga baju itu tidak dipakai.

Yana tidak tahu apa apa tentang pedalaman. Apa yang dia tahu hanyalah wajah sungai,laut dan air tangki.Ini minggu yang kedua dia di sini.  Dia tidak pernah merasa menaiki motosikal melalui pinggir hutan kemudian membelok ke kawasan ladang kelapa sawit yang baru dibuka. Kemudian terpaksa pula melalui jalan yang berlopak,lecak dan licin.

Jalan ini adalah jalan ladang kelapa sawit milik orang cina. Tanah merah yang basah menyebabkan tanah melekat di tayar. Inilah kemudahan jalanraya yang terbaik.Paling terkini. Paling hot!.


Dulu ladang ini adalah hutan rimba. Hutan tempat orang kampung menembak rusa. Hutan kayu untuk ditebang dan kayunya membina rumah. Dulu tak ada jalan menaiki motosikal. Mereka hanya ada laut. Laut lah lebuhraya mereka.Laut lah juga tempat mereka menyerahkan kehidupan mereka.


bersambung....



Tuesday, 19 April 2011

Menyesalnya aku : entri 2006


Rasa menyesal plak rasanya aku. Tadi , aku sengaja cari entri blog blog yang di tulis dalam tahun 2006. Kononnya nak baca style blog masa tu.Aku teringat masa tahun tahun tu, walaupun aku jarang update blog, aku suka baca blog orang lain. 





Apa yang aku perasan banyak style penulisan blog pada masa tu panjang panjang. Kemudian blog masa tu jugak banyak bercerita keadaan di sekeliling tanpa perlu nak memikirkan SEO. Masa tu, pengiklanan ni tak la sehebat sekarang. Ada juga, macam adsense, tapi tak popular macam Nuffnang sekarang. 


Aku menyesal bukannya apa, masa tahun tu aku ada tulis blog juga. Tapi aku jarang jarang update. Lepas tu ada juga entri yang aku delete kononnya tak cool. Lagipun masa tu mana ada pembaca pun. 

Aku tulis sebab rasa hebat keluar kat internet...hahahaa.  Apa yang menyesalnya, kalau la aku rajin update, mesti aku boleh baca balik tulisan aku dan pasti banyak memori  . 

So, kalau aku mulakan tulis blog aku ni dengan mencatat apa yang berlaku dalam kehidupan aku dan aku juga  harap google tak bankrap, harapnya lagi 10 tahun aku dapat baca balik tulisan ni.  Cuma masaalahnya, blog ni bukan aku tulis untuk diri aku sahaja.

Kalau aku tulis untuk diri aku sendiri, baik aku private kan sahaja. Jadinya ada orang juga yang baca dan terbaca blog aku ni. Mestilah tak mau cerita peribadi terlalu peribadi sangat kan. 

Bila buat blog untuk dibaca orang lain juga, kepuasan diri sendiri tak ada. Kadang kadang bila aku tulis entri tentang rasa tak puas hati, bila aku dah publish rasa menyesal pun ada. Takut juga ada orang terasa dengan penulisan dalam blog aku ni.

gambar header blog gua 2006


Wednesday, 6 April 2011

Cerita tentang duit

Kau ingat aku kerja cikgu ni duit banyak ke?. Kau ingat laki bini kerja dengan kerajaan duit sentiasa ada ke?. Semua silap la.. Semua tu hanya cerita lisan sebilangan orang. Hakikatnya, keluarga aku sekarang ni, tak sampai tengah bulan gaji tinggal 500-600 je. Mana pergi duit gaji yang lain tu?. Banyak hutang la.!..hutang RX Water,duit kutu, kereta,personal loan ,pengasuh lagi..  bil broadband,bil telefon...mcm macam la

Tapi  kenapa kau awal bulan hari tu makan tak ingat?.. Makan nasi arab tak habis pun dah kena 30-40, lepas tu minum air secawan sampai RM8. Habis tu napa nak merungut plak?..Kemudian, kau lupa ke time kau pekena nasi ayam rice shop.Walaupun tak la sedap sangat dah berpuluh puluh jugak?. Kan membazir namanya  di saat duit tak berapa ada?..

Rasa macam nak balik keje Sarawak balik la. Bini aku tak yah keje pun , aku boleh keje sorang sorang..Tapi....

Friday, 25 March 2011

Keman Seng Abang Lay! orang kampung yang baik hati

makan di rumah orang kampung
Jam kat kamera ni tak betul..padahal waktu ni jam 8 malam



















Abang Lay  orang kampung yang selalu mengajak kami cikgu cikgu makan malam di rumahnya.

Pernah dalam seminggu  3-4 kali mengajak kami datang hinggakan kami segan pula dengan orang orang kampung di sana,

Lauk masakan abang Lay ni bergantung kepada musim di laut.

Contohnya kalau masa tu musim ikan bawal, maka dia akan masakkan kami ikan bawal  masak masam manis. Kalau musim udang, Abang Lay akan  merebus udang  cicah sos ikan.

Mula mula aku kat sana, aku  gatal kulit, mungkin sebab terlalu banyak makan udang. Lama lama kami jadi  bosan dengan udang. Adakalanya kami lebih sanggup makan ikan sardin dari udang sekiranya semasa musim udang.


Serati
abang lay tolong sembelih...



















Ustaz Rizal suka makan itik serati. Pernah beberapa kali dia beli daripada  orang kampung. Apa lagi isteri Abang Lay lah yang akan masakkan

Kadang kadang dia buat serati bakar. Adakalanya dia buat masak gulai. Memang sedap masakkannya.

Kekurangan isteri abang lay ni, dia kurang mahir bercakap dalam bahasa melayu. Satu ayat melanau (Matu ) yang masih aku ingat:  

keman seng!= makan dulu!. 

Keman Seng Abang Lay !

Thursday, 24 March 2011

Kenangan di Sarawak Part 2

rumah di kampung penibong

Rumah inilah aku menyewa bersama sama cikgu Man. Rumah buruk tapi sewa dengan orang kampung sampai RM300. Mentang mentanglah diorang tahu kami dapat banyak elaun. Rasa macam kena tindas. Bukan ada air paip pun. Nak mandi nak buang air besar semua guna air hujan. Kembali ke zaman 70 an di semenanjung.

Setahun selepas itu, aku bawa isteri aku duduk kat sini lepas kami kahwin- sebelum dia dapat posting kat KL. Pertengahan tahun itu aku dapat balik semenanjung. Rumah ini cikgu perempuan pula yang sewa.