Monday, 2 May 2011

sebuah kisah hidup (2)


Aku masih menunggu hujan.Menunggu hujan untuk berhenti . Aku hanya berharap. Harapan yang di sandarkan kepada awan awan gelap yang menyelubungi kampung Penibong. 

Sebuah kampung pedalaman Sarawak yang masih mengharapkan banyak perkara. Dari bekalan air bersih hinggalah kepada bantuan anak bersekolah. Mereka juga masih perlukan banyak bantuan lain. 

Bantuan minyak subsidi. Bantuan menyara kehidupan. Bantuan untuk anak anak tercicir persekolahan. Malah mungkin perlukan juga bantuan untuk  anak muda  meminang anak jiran untuk jadi pasangan hidup. Semuanya masih perlukan bantuan.Seperti anak kecil yang perlukan bantuan ibu dan ayahnya untuk belajar berjalan.  

Kampung Penibong masyarakatnya rata rata masih naïf dan masih miskin. Mereka adalah kaum Melanau yang beragama Islam. Sayangnya, sebilangannya hanya Islam pada nama. Bukan Islam yang di amalkan sepenuhnya. 

Ada yang masih gila arak. Masih ada yang gila judi. Mereka gila kepada perkara ini bukan dengan perasaan yang takut dan malu. Mereka mabuk di tepi tepi jalan simen pada waktu azan berkumandang. Mereka sangat suka berjudi. Judi adalah antara aktiviti riadah mereka. Bukan semua. Hanya sebilangan. Walau sebilangan tapi jumlahnya agak banyak. 

 Sebilangan inilah yang menjadi citra masyarakatnya. Menjadikan imej tok imam dan bilal menjadi imej yang tak berapa sempurna. Ibarat imej filem yang terkena minyak atau air. Kalau ada bala datang dalam bentuk tsunami memang bukan hanya pemabuk tegar dan si gila judi ini sahaja yang terkena bahanaya. Malah tok bilal, tok imam 1 dan tok imam 2 pun hanyut di bawa tsunami ke tengah laut.

Aku dah bersiap dengan dokumen dokumen yang perlu di bawa. Harapnya, pegawai di Pejabat Daerah Daro tidak kemana mana hari ini. Jika dia tak ada, maka sia sia sahajalah perjalanan dan cuti aku hari ini. Lantas motosikal Honda EX5 berwarna biru ini  aku hidupkan. Walaupun hujan masih rintik rintik dan awan masih gelap tapi aku terpaksa. Aku terpaksa mengharungi  hujan ini. Walaupun ada kebarangkalian hujan akan lebih lebat kerana sudah ada petanda yang nyata.

Bersambung…..




Sunday, 1 May 2011

Pengalaman di Kawasan Pedalaman Sarawak



Hujan masih belum berhenti.Pagi ini aku perlu ke Daro. Ada urusan yang perlu di uruskan. Guru besar telah meluluskan permohonan kami bertiga untuk keluar. Maksudnya hari ini kami tidak perlu ke sekolah.Ini masalah pedalaman.  Urusan penting terpaksa mengambil cuti kerana jauhnya pedalaman untuk ke bandar.


Adakalanya urusan yang sangat ringkas boleh mengambil masa 2 hari. Hari ini aku bertiga perlu uruskan hal medical chekup dan sumpah. Ia perlu dilaksana dengan segera. Semua ini prosedur biasa untuk pelantikan seorang cikgu kerajaan yang telah lulus  temuduga pelantikan.


Aku lihat awan masih gelap. Cuaca sangat sejuk. Tong air telah berisi penuh semula. Ini hujan rahmat. Rahmat pada semua mahluk di kawasan pedalaman. Aku mengelamun.Pagi begini alangkah indahnya kalau aku dapat menikmati secawan kopi lalu sambil berselimut menikmati rintik rintik hujan.

Saat ini bertambah indah jika berlaku di pagi hari cuti.Pada hari yang tak perlu ke sekolah. Tak perlu melihat wajah guru besar yang kadang kadang raut wajahnya menimbulkan misteri.


Aku mengambil baju hujan yang terlonggok di tepi rak kasut. Aku angkat dan aku kibaskan lalu gugur habuk dari baju itu. Agak lama juga baju itu tidak dipakai.

Yana tidak tahu apa apa tentang pedalaman. Apa yang dia tahu hanyalah wajah sungai,laut dan air tangki.Ini minggu yang kedua dia di sini.  Dia tidak pernah merasa menaiki motosikal melalui pinggir hutan kemudian membelok ke kawasan ladang kelapa sawit yang baru dibuka. Kemudian terpaksa pula melalui jalan yang berlopak,lecak dan licin.

Jalan ini adalah jalan ladang kelapa sawit milik orang cina. Tanah merah yang basah menyebabkan tanah melekat di tayar. Inilah kemudahan jalanraya yang terbaik.Paling terkini. Paling hot!.


Dulu ladang ini adalah hutan rimba. Hutan tempat orang kampung menembak rusa. Hutan kayu untuk ditebang dan kayunya membina rumah. Dulu tak ada jalan menaiki motosikal. Mereka hanya ada laut. Laut lah lebuhraya mereka.Laut lah juga tempat mereka menyerahkan kehidupan mereka.


bersambung....